Tentang diri saya

Nama saya Ahmad Amin Bin Aziman. Anak ke 3 dari 6 beradik. Berumur 33 tahun (2021). Mempunyai seorang isteri dan seorang anak (bakal muncul seorang lagi Amin junior InshaAllah). Saya bekerja sebagai pelukis karakter dan illustrasi secara freelance sepenuh masa. Saya juga merupakan graduan ijazah sarjana muda Teknologi Kreatif di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2012.

Saya bekerja secara freelance dari rumah. Saya lebih fokus kepada illustrasi digital. Saya menggunakan komputer dan tablet sebagai alat untuk saya menghasilkan "artwork" kepada klien. Buat masa ini, saya belum mempunyai projek atau produk sendiri kerana hanya fokus bekerja untuk klien dan [bxA] meningkatkan tahap ekonomi keluarga. Idea sudah ada tapi belum ada masa terluang untuk saya mulakan projek personal saya.

"Style" artwork saya lebih kepada kartun. Saya suka artwork yang ke arah kartun dan tidak terlalu realistik. Kebanyakan "job" yang saya dapat adalah untuk projek "character design" dan illustrasi untuk buku cerita kanak-kanak. Dulu semasa mula ber-freelance, saya ambil banyak jenis job yang sy mampu buat. Tapi sekarang saya hanya fokus pada projek yang saya berminat sahaja.

Dari kecil lagi saya suka melukis. Dragon Ball adalah pencetus minat saya ke arah melukis. Saya selalu melukis semula karakter Dragon Ball yang saya tiru dari buku komik yang Ayah belikan setiap bulan. Seingat saya, saya mula membaca komik itu semasa berumur 8 tahun (darjah 2) dan mulai saat itu hati saya sudah mula terpaut dengan character design.

Saya juga minat berkomik. Saya pernah cuba aktif dalam dunia komik semasa zaman sekolah menengah sehinggalah di universiti. Malangnya saya tidak dapat berkembang dalam bidang komik kerana kemahiran saya yang tidak cukup untuk menjadi pelukis komik professional. Dari situ saya mula mencari profession lain yang masih dalam bidang melukis ini. 

Saya sangat meminati bidang"character design". Antara character designer yang saya kagumi ialah Tetsuya Nomura. Karakter rekaannya untuk siri final fantasy sangat bergaya dan unik sekali. Menjadikan beliau sebagai idola telah menambah lagi semangat saya untuk terus berusaha meningkatkan skill melukis.

Alhamdulillah, sekarang sudah ramai klien yang berminat untuk bekerjasama dengan saya. Walaupun begitu, saya masih lagi merasakan diri ini sangat jauh lagi untuk sampai ke tahap yang saya impikan. Saya masih lagi belajar melalu video-video dan "course" dari internet untuk saya lebih memahami asas-asas yang perlu saya kuasai demi menjadi pelukis yang hebat.

Bagaimana saya bermula menjadi freelancer dan bagaimana cara saya mendapatkan klien? Panjang kisahnya. Saya akan kongsikan pada post-post yang akan datang. 

No comments:

Post a Comment